Ahad, 15 April 2007

Pengasas Madrasah Nurul Iman



Sejarah Ringkas Syeikh Mahmud Al-Qedahi

Beliau berasal daripada dua keturunan panglima. Sebelah bapanya berasal daripada keturunan Panglima Raja Legeh iaitu satu kawasan di selatan Pattani. Sebelah ibunya pula berasal daripada keturunan Panglima Raja Laos yang turun ke daerah Sintok, Kedah.

Syeikh Mahmud dilahirkan di Kampung Kepala Parit, Jalan Tokai, Alor Setar, Kedah, iaitu pada 27 Jamadil Akhir 1362 Hijrah Bersamaan 8 Julai 1943 Masehi. Syeikh Mahmud dibesarkan di Kampung Selarong Panjang, Jalan Kangkung, Simpang Empat, Kedah Darul Aman. Beliau dibesarkan di bawah asuhan datuknya Haji Ismail b. Haji Deris; iaitu seorang ulama daripada Legeh, Pattani sehingga beliau berusia 10 tahun. Ketika berumur 10 tahun, datuknya telah meninggal dunia.

Syeikh Mahmud mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Simpang sejak beliau berusia 8 tahun. Selepas datuknya meninggal, beliau masih belajar di Sekolah Melayu Simpang sehinggalah beliau berumur 13 tahun. Ringkasnya pada tahun 1956 beliau masuk mengaji di Pondok Nahdhoh, Bukit Besar. Sebelum itu ada tawaran kepada beliau untuk menjadi guru pelatih di Derga, Alor Setar tetapi tawaran itu telah ditolaknya kerana mengingatkan pesanan arwah datuknya agar menjadi orang kuat agama.

Di Pondok Nahdhoh inilah beliau mula belajar ilmu agama. Walaupun keadaan masa itu serba kekurangan namun cintanya terhadap ilmu tidak pernah padam. Atas kesungguhannya dalam menuntut di situ beliau terkenal dengan panggilan " Mahmud Lebai". Penasihat beliau, Haji Husin Dol selalu datang ke pondoknya. Bila beliau balik dari mengaji beliau lihat dia sedang tidur, kemudian bangun dan minta diri untuk pulang. Beliau pun tidak kisah tentang perkara itu. Sekarang baru beliau tahu yang datang itu bukan jasadnya, tetapi kewaliannya. Dialah orang yang selalu menasihati beliau semasa belajar dahulu : "BUAT KERANA ALLAH MAHMUD". Lebih kurang 8 tahun beliau menghabiskan masa belajar di situ sebelum menyambung pelajaran agamanya di Pasir Tumbuh. Kelantan.

Di Pondok Pasir Tumbuh Kelantan, beliau belajar selama dua tahun mendalami dalam bidang pengajian Nahu, Feqah dan Hadis. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajarannya ke India pada awal tahun 1967 Masihi iaitu di Deoband selama 4 bulan. Oleh sebab beliau menghadapi masalah bahasa pengantar iaitu Bahasa Urdhu sedangkan beliau lebih mahir dalam Bahasa Arab, beliau memohon untuk ke Kolej Jamaliah di Madras Perambor, India. Di Kolej ini, beliau mendalami bidang Usuluddin selama 2 tahun sehingga mendapat Syahadah Afdhol Ulama (B.A. in Islamic Study).

Di Kolej Jamaliah ini juga, beliau mula menghayati bidang kesufian di bawah asuhan gurunya Maulana Abdul Bari. Maulana Abdul Bari dan pengikut-pengikutnya pernah menguji kebolehan dan keperibadian Syeikh Mahmud dengan meminta pandangan beliau tentang peribadi penuntut-penuntut Thailand yang tidak disenangi perwatakanya oleh mereka. Beliau memberikan pendapatnya bahawa "Orang beginilah yang patut kita asuh supaya mereka mendapat iman agar kemudiannya mereka akan menjadi contoh apabila mereka pulang kelak". Serentak itu juga, mereka menjawab: " Anta Abu Khair" iaitu mengelarnya sebagai 'Bapa Kebaikan'.

Beliau pulang daripada pengajiannya ke Malaysia pada akhir tahun 1968 Masihi. Pada masa itu, beliau banyak mengamalkan selawat, dan habis membaca sebanyak 5.6 juta dalam tempoh masa 5 tahun. Hasil daripada banyak membaca selawat ini, beliau mendapat kekuatan kerohanian. Kebetulan pada masa itu pada tahun 1969, berlaku 'peristiwa 13 Mei'. Pada masa itu, banyak berlaku peristiwa-peristiwa karamah yang mendorong beliau mengharungi perjalanan kerohanian dengan lebih serius iaitu pada tahun 1970 Masihi.
Beliau kemudiannya mula masuk ke dalam hutan untuk bersendirian dan bermunajat kepada Allah agar dirinya mendapat bimbingan seorang guru rohani yang benar-benar tinggi di sisiNya. Doanya dimakbulkan pada malam Isnin di Bukit Enggang, Sik, Kedah bersamaan 12 Rabiul Awal 1392 Hijrah. Beliau diberi petunjuk oleh Allah untuk berguru dengan seorang guru rohani yang bernama Tok Ayah Said iaitu pada tahun 1972.

Tok Ayah Said adalah murid kepada wali Ismail Lundang Paku di Kelantan. Syeikh Mahmud mendapat bimbingan di bawah asuhan Tok Ayah Said selama 13 tahun. Selama tempoh 7 tahun beliau menjalani latihan kerohanian berbentuk kesufian ini beliau sentiasa berulang alik ke Bukit Enggang, Kedah.

Beliau beruzlah dan beribadat bersendirian di dalam hutan yang dipenuhi dengan segala binatang buas. Selepas itu beliau melakukan latihan ibadatnya di dalam tanah selama 16 bulan. Setelah genap usia latihan kerohaniannya selama 9 tahun iaitu dari tahun 1970 hingga ke tahun 1979 Masihi, Allah kemudiannya mendorong beliau mengerjakan ibadat haji ke Kota Makkah. Beliau pada masa itu tidak ada sesen pun duit tambang tetapi Allah telah membantunya dengan menghantar seorang hambanya untuk membiayai semua perbelanjaan beliau ke kota Makkah.
Semasa beliau tinggal di Kota Makkah, berlaku satu peristiwa penting iaitu pada hari selasa 1 Muharram, 1400 Hijrah yang merupakan hari 'kepala abad ke 15'. Selepas 10 Muharram beliau kembali ke Malaysia untuk menyambung latihan kerohanian beliau. Pada awal 1981 Masihi, beliau keluar dunia untuk mendalami di bidang kerohanian kesufian ini. Beliau melawat markas-markas Jemaah Tabligh di India bermula dari Markas Jemaah Tabligh di Madras, kemudian ke Nizammuddin. Beliau menginap di Markas Jemaah Tabligh di Karachi selama 10 hari.
Dari Karachi beliau bertolak ke Kota Makkah, juga untuk tujuan latihan kerohanian. Di sana, beliau kerap ke Jabal Nur untuk beribadat. Semasa beliau di Kota Makkah ini, beliau kehabisan wang perbelajaan. Beliau tidak meminta bantuan daripada sesiapa, sebaliknya hidup dengan roti sabil dan air Zam-Zam selama 40 hari. Kebetulan pada masa itu ialah akhir bulan Ramadhan dan berlanjutan sehingga jemaah haji datang. Di sana beliau mengajar bidang kesufian kepada beberapa orang muridnya. Apabila jemaah haji datang, murid-murid beliau akan memberi bimbingan atau ceramah kepada jemaah-jemaah haji ini. Mereka juga menguruskan korban jemaah haji pada tahun itu. Hasil daripada pengurusan korban ini, beliau dapat mengumpul sedikit wang untuk dijadikan tambang balik ke tanah air. Beliau tinggal di Kota Makkah ini selama 6 bulan. Sebelum pulang ke tanah air iaitu Malaysia pada akhir 1981 Masihi, beliau berazam untuk membawa isterinya, Jamaliah ke Kota Makkah untuk menunaikan haji.

Sekembalinya beliau ke Malaysia, isterinya, Jamaliah telah menjual tanahnya untuk pergi ke Kota Makkah bersama Syeikh Mahmud bagi menunaikan haji. Mereka kemudiannya tinggal di Kota Makkah selama 16 bulan. Pada masa itu, beliau sempat menunaikan hajinya sebanyak 2 kali. Di Kota Makkah inilah iaitu pada 12 Rejab 1403 Hijrah bersamaan dengan 1983 Masihi beliau telah tamat sebahagian daripada latihan kerohaniannya selama 13 tahun. Allah kemudiannya memberi petunjuk agar beliau menyambung latihan kerohaniannya di Asia. Berpusatkan Malaysia, beliau mengembangkan ajarannya. Pengajaran beliau berkembang pesat di Asia terutamanya di Asia Tenggara. Pada tahun 1984 Masihi, tamatlah kes perbicaraan beliau dengan Majlis Agama Islam Kedah.

Pada tahun 1985 Masihi, guru kerohanian beliau iaitu Tok Ayah Said telah meninggal dunia. Selepas kematian Tok Ayah Said, beliau semakin giat mencuba memperbaiki dirinya dalam bidang kerohanian sehingga tahun 1989 Masihi. Hasil daripada kesungguhan dan ketabahan beliau ini, beliau akhirnya mendapat alamat daripada Allah bahawa beliau mendapat gelaran 'Abdul Qadir'. Beliau cuba mempraktikkan secara istiqamah pangkat atau kebolehan beliau ini dalam kerohanian selama 4 tahun.

Apabila genap usia latihan kerohanian beliau selama 23 tahun, beliau kemudiannya berjaya mendirikan Madrasah Nurul Iman, di Hulu Langat. Madrasah ini adalah satu daripada madrasah yang telah berjaya didirikannya. Madrasah ini kini menjadi tonggak pengajaran beliau di Asia. Muridnya kini semakin berkembang luas meliputi negara Asia Tenggara, Eropah, Afrika dan Asia Barat.


Pendidik-Pendidik Syeikh Mahmud

1. Maulana Abdul Bari

Maulana Abdul Bari iaitu guru syariat dan tariqat semasa Syeikh Mahmud menuntut di kolej Arab Jamaliyyah, Madras, India pada tahun 1967-1968.

2. Haji Said (1850-1985)

Beliau mula masuk perjalanan sufi ketika berumur 75 tahun. Beliau mula bersuluk di Bukit Panau, Kelantan kemudian pergi bersuluk ke Bukit Enggang, Kedah (tempat Syeikh Mahmud bersuluk). Beliau ke Gunung Kepayang kemudian ke Bukit Merah. Dari situ terus ke Bukit Bintang. Di Bukit Bintang ini beliau mendapat alamat terus dari Allah untuk bertemu Tok Ayah Haji Ismail. Beliau menunggu kedatangan Syeikh Mahmud selama 20 tahun. Beliau merupakan penasihat Syeikh Mahmud dan juga wazir amanah yang menyampaikan amanah dari Wali Qutub, Tok Ismail, Lundang Paku, Kelantan kepada Syeikh Mahmud. Syeikh Mahmud berada di bawah tarbiah Ayah Said selama 13 tahun dan beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1985 ketika berusia 135 tahun.

3. Haji Husin Dol (1904-1967)

Beliau dilahirkan pada tahun 1904M dan meninggal dunia pada 1967M ketika berusia 63 tahun. Beliau merupakan penasihat Syeikh Mahmud semenjak kecil hingga beliau berangkat belajar ke India. Antara nasihat yang sentiasa diberi kepada Syeikh Mahmud ialah ' BUAT KERANA ALLAH, MAHMUD'.

1 ulasan:

fatin_93 berkata...

Masya-Allah...sungguh mulia wali Allah ini. Semoga Allah kurniakan hamba ini kekuatan iman sepertimana kekasih-Mu.